(1) MENGELAKKAN ANCAMAN DAN PENGARUH KOMUNIS
Pengaruh komunis yang semakin meluas
di Asia Tenggara, terutama Singapura membimbangkan kerajaan Persekutuan Tanah
Melayu. Pengaruh komunis mula menyusup masuk ke dalam parti yang memerintah
Singapura sejak tahun 1959, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan
Yew. Kegiatan dan pengaruh komunis semakin kuat apabila bekas anggota PAP
berhaluan kiri menubihkan Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong.
Kekalahan calon PAP dalam dua pilihan raya kecil.
Pada tahun 1961 bagi kawasan Hong Lim dan Anson memperlihatkan pengaruh
komunis semakin merebak di Singapura. Perkembangan ini membimbangkan Tunku
Abdul Rahman kerana beliau khuatir Singapura akan dikuasai oleh pihak komunis
dan keadaan ini boleh mengancam keselamatan Tanah Melayu. Oleh itu, Tunku Abdul
Rahman berpendapat penubuhan Malaysia dapat menyekat pengaruh komunis daripada
merebak di Singapura.
2) MEMBERI KEMERDEKAAN KEPADA SABAH, SARAWAK,
BRUNEI DAN SINGAPURA
Menerusi
penubuhan Persekutuan Malaysia, negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Brunei
dan Singapura akan mendapat kemerdekaan lebih awal daripada yang dijangkakan.
Ini memandangkan negara-negara berkenaan masih lagi berada di bawah jajahan
British semasa cadangan ini ditimbulkan. Dalam hal ini, Sabah dan Sarawak
diletakkan dalam status negeri jajahan, manakala Singapura dan Brunei
diletakkan sebagai negeri naungan.
Dalam perancangan penubuhan
Persekutuan Malaysia, Malaysia akan ditubuhkan dalam tempoh dua tahun. Tetapi
jika Sabah dan Sarawak cuba mencapai kemerdekaan secara berasingan,besar
kemungkinan kemerdekaan itu tidak akan
tercapai biarpun dalam tempoh lima tahun
atau sebaliknya. Jadi, dengan menyertai Malaysia, kemerdekaan Sabah dan Sarawak
boleh disegerakan.
Dalam tahun 1960-an, kerajaan British sebenarnya sedang dalam
pertimbangan untuk memberi kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahannya. Namun,
Sabah dan Sarawak merupakan wilayah jajahan British yang belum bersedia untuk
merdeka apatah lagi untuk berdikari kerana suasana ekonomi dan politiknya yang
kurang memuaskan. Tunku Abdul Rahman berpendapat kerajaan British tidak
bercadang untuk memberi kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak walaupun dalam masa
lima tahun. Oleh itu, Tunku percaya dengan membawa masuk Sabah dan Sarawak ke
dalam Malaysia akan lebih memudahkan dan mempercepatkan kemerdekaan dua wilayah
ini disamping dapat mengelakkan hasrat komunis untuk membentuk tampuk
pemerintahannya.
Sekiranya kemerdekaan tidak diberikan kepada wilayah tersebut, pihak
British khuatir wilayah tersebut akan dipengaruhi oleh komunis dan akan
menyebabkan Britsh akan hilang kepentingn ekonomi dan sosial pada masa yang
akan datang. Di samping itu, terdapat juga pengaruh-pengaruh luar seperti
Filipina dan Indonesia yang berminat terhadap negeri Sabah, Sarawak dan Brunei.

3) PERKONGSIAN FAEDAH EKONOMI
Melalui Persekutuan Malaysia, negara-negara anggota akan dapat
mengadakan kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk faedah bersama. Secara tidak
langsung, negara-negara anggota yang kaya dengan sumber boleh membantu
negara-negara anggota yang miskin dan kekurangan sumber ekonomi sekaligus ia
dapat meningkatkan pembangunan ekonomi, terutama di Sabah dan Sarawak yang
masih belum maju dari segi ekonominya. Manakala Tanah Melayu, Singapura dan
Brunei pula akan menjadi penyumbang kepada negara-negara berkenaan. Ini kerana
Tanah Melayu kaya dengan sumber bahan mentah, Brunei pula kaya dengan sumber
minyaknya manakala Singapura pula akan lebih selamat dari segi ekonomi
sekiranya menyertai Persekutuan Malaysia
4) MEMBELA MASYARAKAT BUMIPUTERA DI SABAH DAN
SARAWAK
Sebelum penyertaan Sabah dan Sarawak
ke dalam Malaysia, nasib penduduk di wilayah ini tidak sama dengan nasib
penduduk di Semenanjung Tanah Melayu terutama golongan bumiputera. Kebanyakan
jawatan dan kegiatan ekonomi di wilayah-wilayah tersebut dipegang oleh bangsa asing. Sebahagian besar
penduduk pula terlibat dalam sektor pertanian dan penggunaan tanah untuk sistem
penanaman tetap hanya pada kadar 3% sahaja. Jika kedua-dua wilayah tersebut
digabungkan ke dalam Persekutuan Malaysia, kemungkinan layanan istimewa akan
diberikan kepada penduduk bumiputera Sabah dan Sarawak adalah lebih besar.
Malahan, kedudukan dan keistimewaan bumiputera telah termaktub dalam
Perlembagaaan Persekutuan Malaysia.
Sistem perhubungan di kedua-dua wilayah ini juga daif, infrastrukturnya
masih bergantung pada sungai-sungai dan perjalanan udara. Adalah sukar untuk
mewujudkan perhubungan darat secara besar-besaran. Selain itu, golongan
bumiputera di kedua-dua wilayah ini juga tidak mendapat layanan yang baik
daripada kerajaan British manakala orang-orang luar yang datang ke wilayah ini
diberi perhatian. Justeru, tahap pendidikan, penguasaan ekonomi, kadar celik
huruf dan pengisian jawatan kerajaan lebih tinggi di kalangan orang luar. Kaum
bumiputera yang mempunyai pendidikan tinggi sangat sedikit dan faktor ini
membataskan peluang mereka untuk menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan.
MENJAGA KEPENTINGAN
DAN HAK KAUM BUMIPUTERA
Menurut Tunku Abdul Rahman, gagasan pembentukan Malaysia perlu
mengabungkan wilayah-wilayah Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Brunei bukan
hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura sahaja. Jika Tanah Melayu dan
Singapura sahaja bercantum, ini akan menghilangkan majoriti penduduk Melayu.
Ini kerana Singapura mempunyai 80% penduduk bukan Melayu dan apabila
dicantumkan dengan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, penduduk bukan Melayu
akan menjadi golongan terbesar.
Apabila percantuman berlaku antara Tanah Melayu dan Singapura sahaja,
bilangan masyarakat Cina akan menjadi 43.5%, sementara orang Melayu menjadi
43%. Ini kerana anggaran penduduk Tanah Melayu pada tahun 1960, orang Melayu
kira-kira 50% dan orang Cina 36.9%. Justeru, apabila penduduk Sabah dan Sarawak
diambil kira, bilangan kaum bumiputera termasuk Melayu akan menjadi 46.3%,
sementara orang Cina akan menjadi 42.4%. Ini bermaksud untuk menjamin kedudukan
orang Melayu dan bumiputera tidak
terancam, kemasukan Sabah dan Sarawak membolehkan kumpulan Melayu dan
bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar.
No comments:
Post a Comment