A. Perlembagaan
Kebanyakan soal yang
berkaitan dengan perlembagaan berkisar tentang isu ekonomi dan kewangan.
Mengikut perjanjian Malaysia, Singapura diberi kuasa untuk memungut cukai
kastam, cukai eksais dan cukai pendapatan. Selain beberapa kekecualian, semua
hasil yang dikutip akan dibahagikan berasaskan 60% untuk Singapura dan
baki 40% lagi untuk kerajaan Persekutuan. Oleh sebab beban cukai
Singapura paling ringan dan bertambahnya perbelanjaan pertahanan, akibat konfrontasi,
kerajaan Persekutuan bercadang mengkaji semula agihan hasil dan Singapura
perlu menyerahkan 60% daripada jumlah hasilnya dan bukannya 40% seperti yang
dipersetujui sebelumnya. Cadangan ini dibantah oleh Singapura kerana mengikut
perjanjian Malaysia, terdapat satu persetujuan bahawa sehingga bulan
Disember 1968, kerajaan Persekutuan perlu mendapat kebenaran kerajaan Singapura
sebelum mengenakan cukai import yang baharu. Kebenaran itu boleh
ditangguhkan, jika sesuatu jenis cukai itu boleh menjejaskan perdagangan bebas
Singapura. Pada bulan Disember 1964, apabila kerajaan Persekutuan membentangkan
belanjawan bagi tahun 1965, terdapat pelbagai cukai baharu yang dikenakan.
Kerajaan Singapura membantah pengenalan cukai-cukai baharu kerana mereka
dikatakan tidak dibawa berunding terlebih dahulu. Pada akhir bulan Februari
1965, Menteri Kewangan, Tan Siew Sin mengarahkan para pengusaha di Singapura
berunding dahulu dengan kerajaan Persekutuan tentang perlindungan tarif,
sebelum membuka kilang. Arahan ini menimbulkan kemarahan para pengusaha di
Singapura sehingga mendapat liputan media yang meluas.
B. Persaingan politik antara pap dan mca

C. Masalah perkauman
Masalah perkauman ini
dapat dilihat pada hubungan antara UMNO dengan PAP yang menjadi semakin
renggang akibat beberapa peristiwa yang berlaku di Singapura. Setelah menyertai
Malaysia, orang Melayu di negeri itu ‘berasa diri mereka diabaikan’ dan
kerajaan Singapura tidak mengambil tindakan untuk membaiki kedudukan mereka.
Oleh itu, beberapa buah pertubuhan yang mewakili orang Melayu menemui Tunku
Abdul Rahman untuk melaporkan perkara itu. Keadaan menjadi semakin rumit
selepas Setiausaha Agong UMNO, Syed Jaafar Albar menuduh pemimpin PAP, Lee Kuan
Yew cuba memecahkan perpaduan masyarakat Melayu di Singapura. Kerajaan
Singapura sering mengecam golongan yang disifatkan sebagai ‘pelampau’ dalam
kerajaan Persekutuan, terutama Syed Jaafar Albar yang dituduh oleh para
pemimpin PAP sebagai bertanggungjawab menyebabkan tercetusnya rusuhan
kaum di Singapura pada bulan Julai dan September 1964. Sikap para pemimpin
politik di Singapura yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia juga kurang
disenangi oleh para pemimpin UMNO. Konsep ini seolah-olah mengenepikan
institusi dan mencabar kedudukan istimewa orang Melayu. Pada bulan Mei 1965,
Lee Kuan Yew menubuhkan Malaysian Solidarity Convention sebagai satu pakatan
dikalangan parti pembangkang dengan slogan A democratic Malaysian Malaysia
untuk menandingi parti Perikatan. Beliau menyeru diwujudkan satu ‘persamaan hak
bagi semua’ melalui satu ideologi politik, sosial dan ekonomi yang sama untuk
semua kaum. Kedudukan negeri-negeri di Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan
Sarawak dalam Persekutuan Malaysia juga ditimbulkan oleh para pemimpin
Singapura. Mereka menggalakkan negeri-negeri itu menimbulkan soal perbezaan
taraf ekonomi dan prinsip-prinsip perlembagaan yang telah dipersetujui sehingga
sesetengah pemimpin di Sarawak, Sabah dan negeri-negeri lain bertindak balas.
Memandangkan sebahagian besar pihak pembangkang terdiri daripada bukan Melayu,
keadaan ini seolah-olah mencerminkan penentangan mereka terhadap orang Melayu
yang menguasai kerajaan. Keadaan yang berlaku bukan lagi berbentuk pertikaian
antara PAP dengan UMNO, tetapi lebih menjurus rebutan kuasa politik antara kaum
Melayu dengan bukan Melayu.
D. Perbezaan pendekatan parti
perikatan dan pap
PAP berhasrat untuk mewujudkan masyarakat
‘bukan perkauman’ secara serta-merta dan berpendapat konflik timbul akibat
wujudnya dua bentuk masyarakat yang berlainan, PAP berminat untuk berdebat
secara terbuka dalam hampir semua isu politik dan melaksanakan dasar-dasar
baharu dengan segera. Parti Perikatan terutama UMNO merupakan parti yang
dibentuk dengan struktur perkauman berdasarkan masyarakat majmuk yang sedia
wujud di Malaysia. Parti Perikatan berpendapat perbincangan secara terbuka
tentang perbezaan kaum boleh mencetuskan ketegangan dan kekacauan. Perbezaan
pendekatan dalam menghadapi isu-isu perkauman ini mencetuskan pergeseran antara
Parti Perikatan dengan PAP.
No comments:
Post a Comment